JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan Bangsa Johor supaya menjaga tingkah laku dalam apa juga perkara yang dilakukan.
Baginda bertitah, mereka juga perlu bertanggungjawab dalam semua perkara dilakukan.
"Semoga negeri Johor dan seluruh Bangsa Johor sentiasa diberkati dipelihara ALLAH SWT. Muafakat itu berkat, ALLAH peliharakan Sultan," titahnya dalam Facebook miliknya HRH Crown Prince of Johor pada Ahad.
Titah baginda dipercayai merujuk kepada insiden yang berlaku semasa program Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang berlangsung di Dewan Yong Sheng, Muar pada jam 9.30 malam Sabtu.
Pada program itu, seramai 30 individu yang memakai 'hoodie' dan pelitup muka membuat provokasi.
Kumpulan itu membaling botol, menolak sukarelawan dan anggota Muda, membaling mercun, menendang serta merosakkan kenderaan sambil menjerit sekain meminta mereka yang datang berhenti dan meninggalkan dewan tersebut.
Dua klip video berdurasi 15 dan 46 saat yang dimuat naik Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tular menunjukkan sekumpulan lelaki itu melaungkan perkataan 'balik' sebagai provokasi terhadap tetamu dalam program berkenaan, namun tiada yang cedera.
Kejadian itu yang kedua menimpa Muda dalam tempoh seminggu selepas program ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di Muar pada 17 Oktober lalu turut dilaporkan diganggu kumpulan bermotosikal yang melakukan provokasi.