SHAH ALAM - Langkah melantik ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak ke jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dapat menjadi pemangkin baharu kepada usaha mengukuhkan pertumbuhan di negeri tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pendekatan itu dilihat lebih baik berbanding cadangan menambah jawatan TPM kepada kaum lain atau memperbanyakkan duta bertaraf menteri.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, kaedah pentadbiran dalam menguruskan pertumbuhan menyeluruh di luar bandar pernah dilaksanakan selepas negara merdeka apabila Tun Abdul Razak yang ketika itu merupakan TPM menubuhkan Kementerian Luar Bandar.
"Memerlukan seorang yang perpangkat senior untuk mengarahkan menteri lain melaksanakan keperluan merubah luar bandar kita. TPM ketika itu adalah menteri koordinator kepada semua kementerian lain.
"Sabah dan Sarawak sangat luas. Memerlukan pendekatan pelbagai disiplin untuk memajukannya. Idea seorang TPM bagi setiap negeri ini sebagai menteri koordinator kepada semua kementerian lain bagi mengukuhkan pertumbuhan mereka boleh menjadi pemangkin baru,” katanya yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad berkata, gabungan itu mengesyorkan agar jawatan TPM turut diisi wakil rakyat dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung jika BN mendominasi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada masa sama, turut mengemukakan pandangan tersebut ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan gabungannya mengekalkan cadangan sebelum ini agar tiga jawatan TPM diwujudkan masing-masing dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.