Lions takkan beri Rhinos laluan mudah

Iklan
UiTM FC bakal menyingkap kempen perlawanan timbal balik pertama pusingan 16 Piala Malaysia berdepan Sabah, Rabu ini. - Foto UiTM FC

KELAB Liga Premier, UiTM FC menghormati kekuatan Sabah FC yang dilabel pasukan pilihan dalam saingan Piala Malaysia.

Bagaimanapun pasukan The Lions Roar itu tidak berdepan sebarang tekanan bagi menghadirkan cabaran menjelang perlawanan timbal balik pertama pusingan 16 terbaik di Stadium UiTM, Shah Alam, Rabu ini.

Iklan
Iklan

Menurut pertahanan kiri UiTM FC, Afzal Akbar, dia tahu cabaran getir menanti pasukannya memandangkan The Rhinos berada di puncak prestasi selepas menamatkan cabaran di tangga ketiga Liga Super.

Namun, Afzal dan rakan-rakan tidak mahu bersikap terlalu menghormati lawan selain cuba menghadirkan kesukaran kepada Sabah yang akan bertandang ke Shah Alam.

Iklan

"Kita sedar Sabah merupakan salah satu pesaing utama kejuaraan Liga Super tetapi kami tidak kisah jumpa mana-mana pasukan kerana sesiapa sahaja yang ditemui, kami akan tetap berikan 100 peratus.

"Jika diperhatikan kekuatan Sabah, serangan mereka sememangnya sangat baik selain pemain-pemain Sabah yang ada kualiti tersendiri terutama dalam situasi bola mati.

Iklan

"Apa yang penting, kita kena berdisiplin semasa bertahan selain percaya bola itu bulat kerana peluang membuat kejutan sentiasa ada dalam bola sepak.

"Selain fokus dalam situasi bertahan, kita juga perlu lebih bijak memanfaatkan peluang terhidang,” katanya.

Afzal merupakan satu-satunya pemain UiTM yang diturunkan dalam semua 18 perlawanan musim ini di Liga Premier dan berjaya meraih satu gol serta tiga bantuan jaringan.

Afzal, 24, memulakan karier bersama skuad Piala Presiden dan Belia Kuala Lumpur sebelum menyambung pengajian di UiTM Shah Alam dalam bidang Sains Sukan (Sarjana Muda).

Walaupun memulakan kempen Liga Premier dengan enam kekalahan berturut-turut, UiTM FC menunjukkan peningkatan di pertengahan saingan apabila mengakhiri saingan di tangga ketujuh selepas meraih enam kemenangan dan dua keputusan seri, mengumpul 20 mata secara keseluruhan.

Menurut Afzal, pencapaian itu boleh dibanggakan ekoran UiTM menggunakan 100 peratus pemain tempatan dan sentiasa memberikan kesukaran kepada pasukan-pasukan lain yang mempunyai ramai pemain berkualiti.

"Memang permulaan kami agak perlahan dan lambat dapat keserasian di atas padang tetapi atas kerja keras dan kepercayaan jurulatih, Ismail Ibrahim, kita akhirnya ada menang beberapa perlawanan.

"Jurulatih selalu tekankan yang kita menang sebagai satu pasukan, kalah pun sebagai satu pasukan dan semangat berpasukan menjadi teras kekuatan kami sepanjang musim ini,” katanya.