JUARA dunia, Max Verstappen menjulang Red Bull untuk merangkul kejuaraan bagi kategori pengeluar selepas memenangi Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS).
Red Bull mengumpul 656 mata dengan berbaki tiga lagi perlumbaan meninggalkan Ferrari dengan 469 mata.
Kejayaan itu diraih 24 jam selepas pengasas dan pemilik bersama Red Bull, Dietrich Mateschitz meninggal dunia.
Pemandu 25 tahun dari Belanda itu memenangi perlumbaan ke-13 musim ini dan ke-33 dalam kariernya selepas bersaing sengit dengan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton.
Perlumbaan di Circuit of Americas itu menyaksikan Verstappen melepasi garisan penamat 5.023 saat lebih pantas berbanding Hamilton.
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc pula di tempat ketiga dan seorang lagi pemandu Red Bull, Sergio Perez keempat.
"Sudah tentu, ia hujung minggu yang sukar buat kami dan ini adalah untuk Dietrich (Mateschitz) di atas apa yang dilakukan untuk semua orang.
"Kami mempunyai peluang untuk memenangi 'pengeluar' di sini dan sudah tentu anda mahu melakukannya dengan bergaya dan saya rasa kami berjaya.
"Ia amat bermakna buat saya, kepada pasukan, kerana dia (Dietrich) sangat penting kepada seluruh pasukan," kata Verstappen.
Dalam pada itu, Hamilton cuba memberi tentangan sengit kepada Verstappen, namun akur Red Bull lebih pantas.
"Saya sudah berusaha untuk kekal di depan, tetapi mereka lebih pantas. Strategi hebat, perlumbaan hebat oleh Red Bull - dan takziah kepada pasukan.
"Kami akan terus berusaha pada tiga perlumbaan seterusnya," ujar Hamilton.