PORT DICKSON – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, di sini pada Ahad.
Mangsa, Faizee Azmee, 47, yang lebih dikenali sebagai Abang Mael 'on tak on' dalam kalangan penduduk di Negeri Sembilan mengalami cedera parah di kepala sebelum dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.38 malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian pada jam 4.57 petang itu melibatkan motosikal jenis C100 ditunggang mangsa dan dua kenderaan lain iaitu Perodua Bezza dan Perodua Aruz.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz dipandu anggota tentera lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di Kem Gerison Si Rusa.
"Namun apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kereta Perodua Bezza dipandu anggota tentera wanita dan motosikal ditunggang mangsa keluar dari simpang arah Telok Kemang,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, pemandu Perodua Aruz tidak sempat menekan brek lalu berlanggar di bahagian kanan motosikal mangsa.
Ujarnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa terpelanting ke atas jalan raya.
"Bagaimanapun, pada jam 8.38 malam pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.