ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja SWM Environment Sdn Bhd maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sokok Duku Tanjung Bidara di sini pada petang Ahad.
Dalam kejadian pada jam 6.45 petang, Ahmad Jamil Ibrahim, 47, yang menunggang motosikal jenis Y15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala, kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu warga emas berusia 64 tahun dari arah sama iaitu Tanjung Bidara menghala ke Masjid Tanah.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan dan berlanggar dengan kereta terbabit.
"Akibat kemalangan itu, mangsa yang beralamat di Taman Sri Pelangi Rumbia di sini terbabas di bahu jalan dan disahkan meninggal dunia.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.