'Ayam bising, ular berat 80kg bertandang'

Iklan
Ramli bersama ular sawa yang menelan ayam miliknya.

LIPIS - Bunyi bising ayam membawa kepada penemuan seekor ular sawa seberat 80 kilogram di reban milik seorang penduduk di Kampung Chat di sini pada Ahad.

Penduduk, Ramli Ripin, 52, memberitahu, ketika kejadian dia menonton televisyen bersama keluarga sebelum terdengar bunyi bising tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya pun segera keluar dari rumah dan suluh lampu ke dalam reban sebelum mendapati ular sepanjang kira-kira enam meter itu menelan seekor ayam.

"Kebetulan memang ada seekor sahaja ayam di dalam reban tersebut dan jiran saya segera menelefon Angkatan Pertahanan Awam (APM)," kata Ramli kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan
Anggota APM Lipis berjaya menangkap ular sawa seberat 80kg di Kampung Chat di Lipis pada Ahad. - Foto ihsan APM

Ujar Ramli, sebelum ini beberapa ekor kucing miliknya turut hilang dan tidak menolak kemungkinan ditelan reptilia tersebut.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Lipis, Kapten (PA) Mohd Azhar Yusof memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.16 malam.

Iklan

"Seramai lima anggota dan sebuah lori digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat ular sawa dalam reban itu.

"Anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap reptilia itu dengan menggunakan alatan khas," katanya.