PENYERANG Luqman Hakim Shamsudin akhirnya mendapat minit permainan penampilan senior pertamanya musim ini untuk KV Kortrijk dalam Divisyen Pertama A Belgium ketika menentang Westerlo pada Sabtu.
Luqman yang diletakkan di bangku simpanan, mendapat kepercayaan pengendali Kortrijk, Adnan Čustovic diturunkan pada minit ke-88.
Bagaimanapun aura pemain berusia 20 tahun yang menggantikan penyerang dari Uruguay, Felipe Avenatti bagi baki dua minit terakhir gagal membantu Kortrijk melakar keputusan positif.
Jaringan Nicolas Madsen (48') dan Nene Dorgeles (83') sudah cukup membolehkan Westerlo kendalian Jonas De Rock membawa pulang tiga mata.
Aksi di Stadium Guldensporen itu juga menyaksikan Kortrijk terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Habib Guèye dilayangkan kad merah pada minit ke-26.
Kekalahan kesembilan selepas mengharungi 14 perlawanan menyaksikan Kortrijk kini berada di kedudukan dua tercorot dalam kalangan 18 pasukan bertanding dengan mengumpul 11 mata.
Pemain dari Kota Bharu itu sebelum ini mencipta sensasi apabila menandatangani kontrak profesional bersama Kortrijk pada 2019 sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama bermain di Belgium.
Luqman membuat penampilan senior pertamanya untuk Kortrijk pada 24 Oktober 2020 ketika menentang Anderlecht selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74.