TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih satu tan metrik minyak masak peket di Jalan Hulu Stesen Kereta Api Wakaf Bharu di sini pada Ahad.
Serbuan dijalankan dalam Op Membanteras Ketirisan Barang Kawalan pada jam 5 petang.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil maklumat risikan, pasukan mengekori pergerakan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran Malaysia yang mencurigakan dari arah Pasir Pekan menghala ke Wakaf Bharu di sini.
"Suspek membawa minyak masak bersubsidi yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
"Menyedari diekori, suspek bertindak memecut laju menghala ke Jalan Hulu Stesen Kereta Api Wakaf Bharu, namun dapat dipintas dengan bantuan Unit Peronda Polis Tumpat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pemandu kereta tersebut bagaimanapun melarikan diri di kawasan semak berhampiran meninggalkan kenderaannya dan gagal dikesan oleh pasukan.
"Pasukan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dan menjumpai 60 kotak mengandungi minyak masak bersubsidi peket 1kg dengan anggaran kuantiti sebanyak 1,020kg atau 1.02 tan metrik disyaki untuk diseleweng melalui pangkalan haram.
"Nilai rampasan minyak masak tersebut dianggarkan berjumlah RM2,550 dan sebuah kereta bernilai RM8,000 turut disita,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua barangan itu disita untuk tindakan selanjutnya.
"Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan.
"KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi terhadap segala aktiviti penyeludupan barangan kawalan,” katanya.