Babak helikopter tidak dirancang: Sufian Suhaimi

Iklan
Sufian Suhaimi

PENYANYI Sufian Suhaimi sekali lagi menarik perhatian perhatian netizen apabila didakwa sengaja membuka kembali kisah cinta tidak kesampaian dengan bekas tunang apabila menampilkan babak menaiki helikopter dalam muzik video single terbaharu, Mencuba.

Selepas tiga hari dilancarkan, muzik video terbabit telah meraih lebih 1 juta tontonan. Namun dalam masa yang sama, rata-rata memberi komen tentang babak helikopter yang tentu mempunyai kisah tersendiri buat penyanyi ini.

Iklan
Iklan

Sufian, 27, bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan menganggap idea dan konsep penghasilan muzik video terbabit tidak mempunyai kaitan dengan sesiapa.

Malahan kata Sufian, babak menaiki helikopter yang terdapat dalam muzik video tersebut dilakukan pada saat-saat akhir apabila mendapat tawaran daripada sebuah syarikat penerbangan persendirian dan bukan dirancang.

Iklan

"Sebenarnya babak dan penceritaan dalam muzik video single Mencuba itu adalah bersifat umum. Cuma mungkin babak helikopter sahaja yang buat orang kaitkan dengan kisah saya sebelum ini.

"Bagi saya masing-masing mempunyai persepsi dan interpretasi yang berbeza tentang apa yang mereka lihat dan dengar. Jadi terpulang kepada mereka.

Iklan

"Babak tersebut wujud dalam muzik video itu bukan kerana saya belum move on atau masih dihantui dengan bayang-bayang cerita silam, tetapi ia adalah elemen menarik dan bersesuaian dengan jalan cerita lagu Mencuba,” tegas Sufian yang ditemui di Majlis Sidang Media Trio Concert Tour 2019 di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada Selasa.

Biarpun begitu penyanyi yang sebelum ini cukup dikenali menerusi lagu Di Matamu ini mengakui pada awalnya gementar untuk menjayakan babak tersebut kerana bimbang ia akan menyinggung mana-mana pihak meski bukan itu niatnya.

"Sebenarnya kalau tanya saya secara peribadi, memang saya gementar buat babak tersebut kerana takut ia akan menyinggung mana-mana pihak.

"Namun apabila diperhalusi jalan ceritanya, tiada apa pun yang negatif cuba disampaikan dalam muzik video ini. Kisahnya pun happy ending.

"Babak helikopter itu sekadar untuk menampilkan kelainan dan sesuatu yang bukan kita boleh tengok hari-hari, sekaligus menjadikan ia istimewa,” ujar Sufian kepada Sinar Harian.

Dalam perkembagan lain, Sufian bakal berkongsi pentas bersama Khai Bahar dan Wany Hasrita untuk siri jelajah Trio Concert 2019 yang bermula pada Julai depan membabitkan empat lokasi.

Lokasi pertama di Expo @ Danga City Mall, Johor Bahru pada 13 Julai, Stadium SUKPA, Kuantan (17 Ogos), Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar (5 Oktober) dan Stadium Malawati, Shah Alam (2 November).