Reda diuji kencing manis di usia muda

Iklan
Siti Khadijah (kanan) dan Umi Enalisya yang menghidap penyakit kencing manis reda dengan ujian ke atas mereka.

MACHANG - Seorang pelukis inai dari Kampung Ayer Merah di sini reda apabila diuji dengan penyakit kencing manis pada usia muda.

Akibat penyakit itu, isi di tapak kaki sebelah kanan Umi Enalisya Pauzi, 26, terpaksa dibuang selain kehilangan satu jari kaki kirinya.

Iklan
Iklan

Umi Enalisya yang dikesan menghidap kencing manis sejak berusia 17 tahun juga akur kerana percaya penyakit itu mungkin disebabkan keturunan.

Berkongsi kisahnya, anak bongsu daripada 12 beradik itu berkata, pada mulanya kaki kanannya melecet dan lama-kelamaan semakin serius.

Iklan

"Saya kemudian dimasukkan ke wad Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu untuk membuang isi kaki yang memburuk.

"Selama 25 hari saya dirawat di hospital manakala ibu jari kaki sebelah kiri pula terpaksa dipotong," katanya.

Iklan

Umi Enalisya memberitahu, dia kini tidak mampu bekerja kerana mudah sakit pinggang selain masalah kaki.

Bagaimanapun dia bersyukur apabila menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

"Dengan wang bantuan itu, dapatlah saya menampung kos berulang-alik ke hospital dan klinik untuk mencuci luka," katanya.

Sebelum ini, ibu Umi Enalisya, Siti Khadijah Hamid, 68, juga terpaksa dipotong kedua-dua belah kaki akibat penyakit itu.

Siti Khadijah yang kini sembuh sepenuhnya berkata, tiga pembedahan dilakukan dalam tempoh tiga bulan bagi membuang sebahagian kakinya kerana mengalami luka serius.

Warga emas itu menghidap kencing manis sejak sepuluh tahun lalu dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

"Pada Januari lalu kaki kiri saya terpijak kaca menyebabkan luka dan dipotong sehingga paras betis disebabkan jangkitan kuman," katanya.

Siti Khatijah dirawat hampir dua minggu di Hospital Sultan Ismail Petra.

Bagaimanapun katanya, sebulan selepas menjalani pembedahan memotong kaki sebelah kiri, dia berdepan masalah luka kaki kanan dan terpaksa dipotong hingga paras paha melalui dua pembedahan iaitu pada Februari dan Mac lalu.

"Sebelum sembuh sepenuhnya, saya mengambil masa dua bulan membiasakan diri bergerak tanpa kaki dengan mengengsot untuk melakukan rutin harian," jelasnya.

Dia kini dikategorikan orang kurang upaya (OKU) fizikal dengan menerima bantuan daripada JKM RM250 sebulan.