Kerajaan PH sedia RM6.23 bilion bantu pulih semula Felda

Iklan
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap di dalam Dewan Rakyat. - FOTO: ZAHID IZZANI

KUALA LUMPUR - Kerajaan PH memperuntukkan sebanyak RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat bagi memulihkan semula Felda.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan berhasrat untuk meringankan bebanan hutang peneroka dengan memperkenal Skim Pengurusan Aset Canggih (SPAC) bagi menggantikan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil.

Iklan
Iklan

"Melalui skim baharu ini, peneroka akan menerima pinjaman yang bersesuaian berdasarkan pendapatan mereka.

"Cadangan skim baharu ini sedang diteliti secara mendalam termasuk libat urus dengan peneroka.

Iklan

"Sementara proses ini sedang berjalan, Felda akan meneruskan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil mengikut kadar sedia ada.

Bagi tahun 2019, kerajaan telah meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Usul Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, untuk membiayai Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil, Felda terpaksa menanggung kos kewangan yang besar melalui pinjaman dari institusi kewangan yang mengenakan kadar faedah di antara 4 hingga 6 peratus.

"Kerajaan lama memindahkan kos ini kepada peneroka dengan mengenakan kadar faedah efektif sebanyak 3.8 peratus di atas Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil. Kerajaan PH telah berjanji untuk menghapuskan hutang tidak wajar bagi meringankan bebanan kewangan peneroka.

"Merasai denyutan nadi peneroka, kerajaan bersetuju untuk menghapuskan kadar faedah di atas Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil yang dibebankan kepada peneroka.

"Bantuan kerajaan ini dianggarkan berjumlah RM2 bilion," katanya.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga amat prihatin terhadap masalah perumahan generasi kedua Felda iaitu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai sekian lama tanpa pembelaan daripada kerajaan lama.

"Sebagai sebuah kerajaan yang peduli generasi baru Felda, Kerajaan PH bertekad untuk menyiapkan 4,794 unit rumah yang tahap kemajuannya 70 peratus dan ke atas.

"Untuk tujuan ini, kerajaan meluluskan sebanyak RM250 juta bagi tahun 2019," jelasnya.