Qari Bahrain, qariah Malaysia juara tilawah al-Quran

Iklan
Johan Qari dari Bahrain, Mohamed Sameer Mohamed Magahed (kiri) dan Johan Qariah dari Malaysia Sofizah Mousin (kanan) bergambar pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam ini. - Foto:Bernama
KUALA LUMPUR- Qari Bahrain, Mohamed Sameer Mohamed Magahed dan qariah Malaysia Sofizah Mousin, masing-masing diumum johan tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62, malam ini.

Pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, Mohamed Sameer memperoleh markah 93.33 peratus manakala Sofizah meraih 89.66 peratus sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai dan piala.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan hadiah kategori qari manakala kategori qariah dikurniakan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sementara itu, wakil Malaysia Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan muncul naib johan qari dengan markah 88.83 peratus manakala tempat ketiga dimenangi qari Indonesia Muhammad Rizqon (88.34 peratus), masing-masing turut memenangi hadiah wang tunai dan piala.

Widadul Wahidah Mahamod dari Singapura pula muncul naib johan qariah dengan markah 87.50 peratus dan tempat ketiga qariah Indonesia Yuni Wulandari Hasim (87.49 peratus), juga membawa pulang hadiah wang tunai dan piala.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Bertemakan"Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran,” majlis itu berlangsung selama enam hari bermula Rabu lepas, melibatkan 36 peserta dari 28 negara.

MTHQA62 adalah yang pertama kali diadakan selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, hanya kategori tilawah yang dipertandingkan kali ini, manakala kategori hafazan akan kembali pada tahun hadapan. - Bernama