Sejauh mana gabungan GRS-BN dapat bertahan

Iklan
Hajiji Noor - Foto Bernama

POLITIK di Semenanjung Malaysia cukup jelas memperlihatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Pas menjadikan BN sebagai musuh untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bagaimanapun berbeza di Sabah, Bersatu di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan BN mencapai kata sepakat untuk bekerjasama pada PRU15 atas dasar tidak mahu terbabit dengan situasi politik di semenanjung.

Iklan
Iklan

Kata sepakat antara Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu adalah untuk mengelakkan pertembungan politik yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat serta menentukan agihan kerusi yang adil dan saksama.

Bagaimanapun, sejauh mana gabungan itu dapat dikekalkan masih menjadi persoalan memandangkan di peringkat pusat, BN dan Bersatu dilihat seolah-olah umpama air dengan minyak.

Hajiji Noor - Foto Bernama

Iklan

Pun begitu setakat ini, apa yang boleh disimpulkan adalah kestabilan politik di Sabah untuk PRU15 akan datang bergantung kepada perkongsian kuasa persefahaman antara GRS dan BN.

"Yang menariknya di Sabah, PN dan BN bekerjasama atas dasar tidak mahu terbabit dengan situasi politik di semenanjung. Namun, terdapat beberapa isu dalam GRS yang perlu diselesaikan seperti pembahagian kerusi dan kuasa antara UMNO dan Bersatu.

Iklan

"Persoalannya, sejauh mana perkongsian kuasa persefahaman antara GRS dan BN ini dapat dikekalkan? Saya berpendapat perkara ini sesuatu yang agak sukar dicapai kerana situasi politik di Sabah agak terbuka dan dipengaruhi oleh politik di semenanjung,” kata penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Arnold Puyok kepada Sinar Premium.

GRS yang dianggotai PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (kini dikenali sebagai Parti Warisan) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, 26 September 2020 lalu apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dan situasi itu juga memperlihatkan masih belum ada pihak yang mempunyai majoriti kukuh dan mampu menjamin kestabilan politik di Sabah.

Bagi Arnold, gambaran sama ada terdapat persaingan yang sengit atau kompetitif di antara dua pihak tersebut dapat dilihat selepas rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan BN dilakukan.

"Bagi saya, tiada parti atau ketua pemimpin di Sabah ketika ini yang benar-benar dominan seperti di Sarawak. Kita perlu tunggu rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan BN,” katanya.

Shafie masih popular

Di sebalik kerjasama GRS dengan BN yang sudah diputuskan oleh pemimpin negeri, Warisan yang diketuai oleh bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mampu menggugat gabungan itu memandangkan penyandang kerusi Parlimen Semporna tersebut masih popular dalam kalangan masyarakat di Sabah.

Disebabkan itu, Warisan berpendirian tetap bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan kerusi Parlimen Labuan dalam PRU15.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Bilcher Bala melihat Warisan mempunyai kekuatan tersendiri dan lebih kukuh berbanding gabungan GRS yang masih samar.

"Bagi saya, populariti Warisan masih tinggi dan Hajiji serta Bung Moktar tidak kuat untuk menandingi aura Shafie,” katanya.

Walau bagaimanapun, Bilcher berpandangan, ketika ini kerajaan Sabah masih stabil kerana terdapatnya elemen bertolak ansur antara BN dan Bersatu.

"Bersatu masih memberi ruang kepada UMNO di Sabah. Keadaan ini tidak sama di semenanjung yang mana UMNO dilihat lebih mempunyai kelebihan berbanding Bersatu,” katanya.

Biarpun begitu, Bilcher menimbulkan persoalan apa yang akan berlaku terhadap gabungan GRS selepas PRU15 memandangkan pentadbiran di Sabah tidak sama seperti di Pusat.

"Adakah gabungan GRS akan menyokong BN di Pusat atau adakah BN Sabah akan menyokong PN di pusat selepas berakhirnya PRU15 nanti?" soalnya.

* Penulis ialah wartawan Sinar Premium