SELEPAS lebih empat tahun menanti, akhirnya masa yang menjadi debaran ahli politik terjawab apabila tanggal 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat pengumuman membubarkan Parlimen untuk membenarkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.
Ada yang bertepuk tangan, yakin dengan sokongan diterima rakyat ketika ini untuk dipilih semula sebagai kerajaan baharu dan ada yang melahirkan kekecewaan apabila Ismail Sabri tidak meneruskan tempoh pemerintahan yang berbaki tujuh bulan lagi.
Ini satu keputusan besar dan berani buat mereka di puncak kuasa, bukan mudah untuk serahkan kembali kepada rakyat membuat keputusan.
Sudah tidak lama, walaupun kempen-kempen akan bermula selepas penamaan calon iaitu pada Sabtu depan dan dua minggu masa berkempen dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun promosi dan jual diri secara sah untuk menarik pengundi telah bermula di media sosial.
Masa inilah rakyat akan ditonjolkan dengan manifesto setiap parti, tawaran demi tawaran, janji demi janji ditaburi. Rakyat boleh buat pilihan, siapa akan tadbir negara untuk lima tahun akan datang.
Cuma kita jangan terlalu ghairah dengan tawaran yang diberikan, jangan terlalu taasub dengan parti yang boleh membawa perubahan, parti yang pernah memerintah selama 60 tahun, gabungan pemerintahan 22 bulan dan juga mereka yang bersama dalam kerajaan selama 18 bulan.
P Ramlee pernah berpesan kepada kita menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok, sejak 1961 menerusi babak pra rompakan di rumah hartawan bernama Ali Baba (Aziz Satar).
Kumpulan penyamun telah membuat tinjauan terlebih dahulu di rumah Ali Baba dengan tujuan, nanti lebih mudah rompakan dibuat.
Kumpulan penyamun yang ditugaskan adalah Sarjan (Ibrahim Pendek) telah memangkah rumah Ali Baba, bagaimanapun perbuatan berkenaan disedari pembantu rumahnya dan memadam tanda pangkah ini. Marjina (Sarimah) si pembantu rumah Ali Baba telah menukar tanda pangkah itu ke tandas awam yang terletak berhadapan dengan rumah yang dia bekerja itu.
Sebelah malamnya, kumpulan perompak itu datang, tanpa usul periksa terus menyerbu tandas berkenaan. Hendak menjadi cerita, kesemua penyamun tadi terkena tahi daripada tandas itu.
Jadi P Ramlee telah memberikan analogi kepada kita semua agar berhati-hatilah membuat pilihan, rujuk dan semak terlebih dahulu sebelum buat keputusan. Undi anda amatlah bernilai.