Dua atau tiga TPM bukan jaminan kebajikan rakyat terjaga

Iklan
Mohd Kamal menunjukkan jari telunjuk sebagai simbolik cukup satu TPM sahaja di negara ini.

KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan berpandangan jika dua mahupun tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diwujudkan di negara ini bukanlah jaminan sebuah kerajaan berkebajikan.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Kamal Mohamad mengambil contoh semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara sebelum ini.

Iklan
Iklan

Katanya, walaupun tidak ada TPM ketika itu, kerajaan tersebut tetap boleh melakukan banyak kebajikan kepada rakyat.

"Khususnya dalam tempoh Covid-19, selepas dan pasca pandemik.

Iklan

"Tak perlu pun sampai tiga TPM, kekal macam biasa sahaja, seorang cukuplah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Sambutan Jubli Perak Pas Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.

Beliau menambah, barisan menteri kanan sedia ada sudah mencukupi dan berpendapat cadangan penambahan jawatan TPM oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak relevan.

Iklan

"Bagi saya tidak relevan sebab akan menambah kos. Sebelum ini, PH kata banyak sangat jawatan menyebabkan bertambah kos dan kewangan negara, samalah kalau ditambah TPM jadi tiga.

"Contohnya Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata tak ambil gaji kalau jadi Perdana Menteri tetapi tambah TPM, bertambah pula kos, jadi samalah,” katanya.

Beliau turut menempelak BN kerana sepatutnya sudah lama menyelesaikan isu-isu berkaitan Sabah dan Sarawak semasa memerintah negara selama 60 tahun sebelum ini.

"Sepatutnya isu Sabah Sarawak ini sudah selesai dulu lagi, semasa BN memerintah.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan mahu mewujudkan jawatan TPM masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sekiranya parti itu dominan untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Cadangan itu katanya, akan dimasukkan dalam manifesto BN Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar pula mengumumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).