KLANG - Skim Insurans Am Selangor (Insan) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor dijangka mampu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan perlindungan insurans secara percuma.
Seorang kerani, Tan Kwee Fong, 57, tidak melepaskan peluang mendaftar di bawah skim itu kerana sedar akan kepentingan memiliki insurans.
Menurutnya, komitmen tinggi menyebabkannya terpaksa menghentikan caruman bulanan yang dibuat sebelum ini.
"Anak saya seramai lima orang dan keluarga kami besar. Saya dan suami tiada keupayaan untuk menyediakan peruntukan khusus bagi tujuan itu. Apabila ada komitmen yang lebih penting, saya terpaksa hentikan caruman yang dibuat sebelum ini.
"Saya menyokong penuh pengenalan inisiatif Skim Insan dan berharap ia dapat diperluaskan lagi pada masa hadapan," katanya ditemui pada Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman di sini pada Ahad.
Pada program tersebut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyempurnakan pelancaran Skim Insan.
Seorang suri rumah, Wan Nur Laila Muhammed Arifin, 32, berkata, dia terus mendaftar Skim Insan sebaik diberitahu skim itu menawarkan perlindungan secara percuma.
"Ketika turun ke Jelajah Selangor Penyayang ini, seorang petugas memberikan pendedahan mengenai skim tersebut dan saya terus daftar untuk diri sendiri, suami serta anak.
"Skim Insan sesuai dengan status saya sebagai suri rumah yang tiada kemampuan untuk mencarum insurans. Terima kasih kerajaan negeri kerana prihatin dengan kebajikan rakyat," katanya.
Seorang peniaga, Siti Rosmah Abdullah Sani, 34, mengikuti rapat setiap program dilaksanakan kerajaan negeri seperti Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dan Skim Air Darul Ehsan dan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).
Justeru, Siti Rosmah mengajak rakyat Selangor untuk tidak melepaskan peluang mendaftar Skim Insan tanpa perlu menyediakan bayaran bulanan bagi perlindungan diri.
"Sebelum ini, saya ambil insurans pakej ekonomi, bersesuaian dengan status saya yang tiada pendapatan tetap. Apabila diperkenalkan Skim Insan, saya mungkin akan mempertimbangkan untuk menamatkan insurans sedia ada, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan komitmen bulanan," katanya.
Skim Insan adalah skim perlindungan insurans am berkumpulan dan ditawarkan kepada anak jati Selangor, individu yang bermastautin atau pengundi berdaftar di Selangor.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor diberi mandat menyelia pelaksanaan Skim Insan dan pendaftaran telah dibuka mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September 2023 di aplikasi e-dompet Wavpay.
Setiap individu yang berdaftar di bawah skim ini menerima perlindungan sehingga RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis, yang dijangka memanfaatkan enam juta rakyat Selangor.