KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akui gusar menantikan pertemuan dengan pasukan Sri Pahang FC pada perlawanan pertama kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur malam esok.
Nafuzi berkata, kerisauan itu timbul setelah menyaksikan peningkatan corak permainan Sri Pahang dalam dua perlawanan terakhir saingan Liga Super termasuk ketika menewaskan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 di bumi Darul Makmur, baru-baru ini.
Malah menurut beliau, kehadiran dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero ke dalam skuad kendalian Datuk Dollah Salleh itu juga pastinya menambah kegusaran serta kesukaran buat skuad Penyu yang turut mengintai peluang beraksi di pentas akhir Piala Malaysia musim ini.
"Dengan peningkatan corak permainan pada perlawanan terakhir mereka di Liga Super, kita menjangkakan tentangan sengit daripada skuad Tok Gajah yang dibimbing jurulatih berpengalaman luas dan disegani.
"Kehadiran Lee Tuck dan Aguero di bahagian serangan serta posisi tengah pastinya memberi impak positif kepada Sri Pahang. Jadi pemain perlu lebih berhati-hati dan berwaspada," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, petang Isnin.
Bagaimanapun di sebalik cabaran tersebut, Nafuzi tetap optimis mampu menjinakkan skuad Tok Gajah di laman sendiri sekiranya anak buahnya bekerja keras dan mempamerkan prestasi terbaik seperti aksi di Liga Super yang menyaksikan TFC memenangi lapan perlawanan terakhir berturut-turut.
Katanya, TFC kini berada di landasan yang betul dan pemain hanya perlu fokus serta kekal berdisiplin untuk memastikan momentum kemenangan diteruskan pada saingan Piala Malaysia.
"Saya harap pemain dapat betul-betul fokus kerana ia satu perlawanan yang sukar. Tak perlu fikir sasaran ke suku akhir atau sebagainya...Biar menang dengan Pahang dahulu.
"Kita perlu cari seberapa banyak gol di sana (Pahang) untuk bekalan perlawanan timbal balik di Terengganu," katanya.
Dalam pada itu, Nafuzi juga mampu menarik nafas lega kerana semua pemain termasuk dua tonggak import, Pape Diakite dan Petrus Shetembi yang cedera ketika perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC tempoh hari telah pulih dan boleh diturunkan untuk membantu pasukan malam esok. - Bernama