NABLUS - Empat penduduk Palestin terkorban dan hampir 20 lagi cedera pada awal Selasa apabila tentera Israel melakukan serbuan di Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
"Terdapat tiga orang maut dan 19 cedera, tiga daripadanya parah akibat tembakan Israel di Nablus,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan ringkas seperti dilaporkan AFP.
Iklan
Iklan
Kementerian itu kemudian melaporkan bahawa seorang lagi penduduk Palestin terbunuh akibat tembakan Israel, kali ini di Ramallah, Tebing Barat.
Tentera Israel mengesahkan dalam satu kenyataan bersama polis dan agensi perisikan telah menjalankan operasi berskala besar di Nablus dengan menyerbu sebuah pangsapuri yang didakwa digunakan sebagai ibu pejabat dan tapak pembuatan bahan-bahan letupan.
Semasa serbuan itu, beberapa pejuang Palestin dipukul dan ada yang mengalami kecederaan.
Pertempuran antara tentera Israel dengan para pejuang Palestin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini di utara Tebing Barat, wilayah Palestin yang dijajah sejak tahun 1967 oleh Israel terutama di bandar Nablus dan Jenin.
Askar-askar Israel telah meningkatkan operasi di kedua-dua bandar itu sejak Mac lalu. - Agensi