Agong, Raja Permaisuri tiba di Singapura

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah disambut Menteri Pendidikan Singapura sebaik tiba di Lapangan Terbang Changi. - Foto Bernama

SINGAPURA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di Singapura hari ini bagi mengadakan lawatan negara ke republik berkenaan bermula Selasa hingga 28 Oktober ini.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini pada kira-kira 10.50 pagi, yang turut disertai anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Iklan
Iklan

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Menteri Pendidikan Singapura, Chan Chun Sing; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada kira-kira 9.45 pagi, dengan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Iklan

Sempena lawatan ke Singapura itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan berangkat untuk melawat Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada hari ini.

Raja Permaisuri juga dijadualkan berangkat mengadakan lawatan Gardens By The Bay pada malam ini, dengan turut diiringi Tengku Puteri Afzan.

Iklan

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri di Hotel Shangri-La Singapura pada 26 Oktober, disusuli dengan majlis santapan tengah hari.

Pada sebelah petangnya, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Sambutan Negara di The Istana, Orchard Road dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura Halimah Yacob, serta disusuli dengan Majlis Santapan Negara.

Keesokan harinya, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat melawat loji NEWater, kemudiannya ke Kem Latihan Komando di Pasir Ris, manakala Tunku Azizah dijadualkan melawat beberapa tempat bersejarah antaranya National Library dan National Museum of Singapore.

Seri Paduka berdua akan turut berangkat ke majlis santapan malam dan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura pada Khamis (27 Oktober).

Seri Paduka berdua pada asalnya dijadualkan mengadakan lawatan negara ke Singapura pada 19 hingga 21 September namun, ditangguhkan berikutan Seri Paduka berkenan mewakili Malaysia ke istiadat pemakaman negara mendiang Ratu Elizabeth II di London, United Kingdom pada 16 hingga 21 September lepas.

Lawatan negara ke Singapura itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat dan istimewa antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas.

Dalam aspek dagangan dua hala, jumlah dagangan Malaysia dan Singapura dari Januari hingga Ogos 2022 ialah sebanyak AS$55.77 bilion, iaitu 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan Malaysia, menjadikan Singapura sebagai rakan dagangan kedua terbesar Malaysia selepas China.

Singapura merupakan destinasi kedua terbesar eksport Malaysia selepas China dengan nilai AS$34.51 bilion, dan Singapura merupakan sumber kedua terbesar import Malaysia selepas China dengan nilai AS$21.26 bilion. - Bernama