KUANTAN - Barisan Nasional (BN) Pahang berazam untuk merampas kembali kerusi yang dimenangi parti pembangkang dan dalam masa sama mempertahankan semua kerusi yang dikuasai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN khususnya UMNO Pahang telah bersedia untuk menghadapi persaingan parti-parti yang akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15.
Menurutnya, pemilihan calon sedang diteliti namun belum dimuktamadkan.
"Berbeza dengan parti-parti baharu yang tiada hala tuju namun berhasrat untuk bertanding.
"Saya sendiri tidak faham tujuan mereka, mungkin sekadar untuk memecah undi atau atas sebab peribadi," katanya tanpa merujuk parti yang dimaksudkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Warga Emas dan Jubli Emas Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Pahang di sini pada Selasa.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang merangkap Pengerusi UMNO negeri berkata, UMNO/BN juga bersedia untuk menghadapi calon besar daripada parti lawan untuk bertanding di negeri ini pada PRU15.
"Siapa pun yang akan bertanding, kita sedia menghadapinya," ujar beliau menjawab berhubung khabar angin Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan kembali ke Pahang pada PRU15.
Menyentuh berhubung kerusi di kawasan kubu kuat UMNO/BN, Wan Rosdy tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan beberapa penjuru kerana ia perkara biasa dalam setiap pilihan raya.
"Sebelum ini pun kita bertembung dengan calon dari beberapa parti termasuk calon Bebas namun kita berjaya mempertahankannya," jelasnya.
Sementara itu katanya, golongan pesara kerajaan di negeri ini juga dilihat akan terus bersama beliau.
"Rata-rata mereka bersetuju dengan usaha kerajaan negeri selama ini dan pencapaian itu menjadi pengukur untuk mereka memilih parti yang mampu mengurus tadbir negeri dengan baik dan cemerlang" katanya.