Feri terkandas di Kuala Kedah elak tali sauh

Iklan
Feri Bahagia 98 yang membawa 547 penumpang terkandas di muara Kuala Kedah pada petang Ahad dipercayai akibat cuba mengelak tali sauh sebuah kapal yang memasuki laluan.

ALOR SETAR - Feri Bahagia 98 membawa 547 penumpang yang terkandas di muara Kuala Kedah pada petang Ahad dipercayai akibat kapten feri berkenaan cuba mengelak tali sauh sebuah kapal yang memasuki laluan ketika itu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian, paras air laut di alur pelayaran Kuala Kedah menunjukan paras selamat untuk pelayaran, iaitu 1.7 meter.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal turut mendapati feri terbabit bergerak dari Terminal Feri Penumpang Kuah sebelum terkandas di beting pasir pada kedudukan lebih kurang 1.5 batu nautika dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.

Baharin berkata, feri yang terkandas berkenaan diberikan bantuan segera oleh bot nelayan yang berjaya merapati feri bagi memindahkan sebahagian penumpang terutama warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.

Iklan

"Seramai 272 penumpang berjaya dibawa secara berperingkat oleh bot Perkasa 1224 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan bot ronda PSC 19 Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Terminal Feri Kuala Kedah," katanya.

Menurutnya, setelah lebih lima jam terkandas sehingga air mulai pasang, feri tersebut kemudiannya ditunda ke jeti dengan dua buah bot tunda sambil membawa lebihan penumpang lain.

Iklan

Pada Ahad, feri yang membawa 547 penumpang dan kru dari Langkawi ke Kuala Kedah terkandas di muara Kuala Kedah akibat air laut surut.

Bagaimanapun, jadual perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Kedah berjalan seperti biasa dan tidak menjejaskan operasi.

Terdapat lima trip perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi berjalan mengikut jadual bermula JAM 9.30 pagi, 11 pagi, 1 tengah hari, 2 petang dan 3 petang.

Manakala jadual perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah pula bermula pada JAM 8 pagi, 10 pagi, 11 pagi, 12 tengah hari dan 1 tengah hari.