SEREMBAN - Dia bukannya sesiapa, apatah pula 'influncer' atau 'instafamous', namun pemergiannya pada Ahad sangat dirasai oleh seluruh warga Negeri Sembilan.
Malah berita kehilangan Allahyarham Faizee Azmee, 47, yang lebih dikenali sebagai Abang Mael 'on tak on' yang dilaporkan Sinar Harian turut menjadi berita nombor satu paling trending.
Dalam kejadian Ahad lalu, Allahyarham dilaporkan meninggal dunia selepas selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, di Port Dickson.
Dia yang mengalami cedera parah di kepala dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.38 malam ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson.
Difahamkan, kira-kira 300 orang yang datang pada majlis pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Senawang pada Isnin
Rakan baik Allahyarham, Mohd Suhaimie Ramli, 37, berkata, sikap baik Allahyarham yang suka membantu dan menceriakan orang lain membuatkan dia disenangi dan disayangi.
"Saya pun terkejut dan terharu tengok ramainya yang datang melihat jenazah arwah dikebumikan. Entah dari manalah mereka datang, ada yang saya tanya dari Melaka.
"Saya mengenali arwah dari tahun 2006 ketika kami sama-sama sertai kelab motosikal dan dia sangat ceria orangnya, suka buat jenaka,"katanya.
Berkenaan panggilan Abang Mael 'on tak on' terhadap Allahyarham, kata Mohd Suhaimie, ia bermula dari pelekat motosikal dan kereta yang menggunakan ayat 'on tak on' yang dihasilkannya.
Jelasnya, pelekat itu kemudian ditampal pada topi keledar Allahyarham sebagai promosi dan sejak itu ayat berkenaan menjadi popular.
"Saya ada buka gerai jual pelekat di Dataran Senawang dan sebenarnya ayat 'on tak on' itu bermula daripada ayat perjanjian geng motosikal.
"Biasanya geng motosikal ini bila nak pergi 'ride' akan tanya jadi ke tak rancangan itu dan kalau ayat geng motosikal kita cakap 'on ke tak on',"katanya.
Malah katanya, ayat itu telah sebati dengan Allahyarham sejak tahun 2016 sehingga membuatkannya dikenali.
Disebabkan itu katanya, Allahyarham menerima tawaran untuk promosi produk tertentu.
"Arwah tidak pernah berkahwin dan tinggal dengan adik perempuannya di Senawang.
"Apa yang saya boleh kongsi, dia memang baik dan peramah orangnya," katanya.
.