LABUAN - Ribuan pengguna di pulau bebas cukai ini dijangka terus mengalami gangguan bekalan air dalam beberapa hari akan datang.
Pada Ahad, Bahagian Bekalan Air Labuan (BBAL) mengeluarkan notis memaklumkan pam motor di tangki agihan air utama Pulau Enoe mengalami kerosakan dan kerja-kerja pembaikan masih dijalankan.
Menurut pemberitahuan itu gangguan tersebut menjejaskan 24 kampung termasuk pusat bandar.
Penduduk rumah pangsa Taman Perumahan Mutiara dilihat beratur panjang untuk mendapatkan bekalan air dari tangki di tepi jalan raya.
Mereka yang tinggal di tingkat atas rumah pangsa tanpa lif itu dilihat bergelut mengangkut baldi berisi air.
Ketua BBAL, Trinil Indah Puspita menerusi WhatsApp komuniti Labuan berkata, kerja-kerja pembaikan pam berusia 13 tahun itu masih berjalan dan alat ganti pam itu terpaksa diimport.
Katanya, BBAL menghantar bekalan air ke tangki statik yang terletak di semua kawasan perumahan dan kampung sejak semalam (24 Oktober).
Bagaimanapun, kemarahan orang ramai memuncak dan mereka menggunakan media sosial untuk menyuarakan kekecewaan terhadap gangguan air tidak berjadual itu.
Ramai yang menjangkakan bekalan pulih semula awal pagi ini, namun kecewa melihat paip masih kering.
Alfred Sibil berkata, gangguan air itu bagaikan tiada kesudahan.
"Isu air ini berlaku hampir setiap minggu... Kenapa tiada penyelesaian kekal? Labuan adalah wilayah persekutuan dan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa, tetapi perkara yang sama berlaku setiap bulan...sila fikirkan cara yang berkesan untuk menyelesaikan masalah ini secara tuntas," katanya.
Wartawan tempatan, Jainudin Djimin berkata;"Terus-terang, saya sudah bosan menulis mengenai isu air ini. Gangguan air telah membebankan ribuan pengguna di pulau ini lebih sedekad.” - Bernama