TEMERLOH - Kredibiliti dan kemampuan calon antara kriteria utama pilihan pengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Dalam tinjauan Sinar Harian di Parlimen Temerloh, pengundi yang ditemui juga tidak kisah warna parti yang diwakili calon-calon terbabit.
Antaranya bekas pemandu bas, R.Munisami, 67, dia memilih keupayaan calon untuk turun padang dan rajin membuat kerja selain pengalaman dan latar belakang calon terlibat.
"Calon luar atau anak tempatan, saya tidak kisah kerana paling utama ingin memilih calon yang boleh membantu rakyat nanti.
"Saya juga tidak kisah dari parti mana asalkan bukan hanya pandai bercakap tapi tidak pandai buat kerja macam orang kata cakap tak serupa bikin," kata Munisami kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Munisami yang telah mengundi sebanyak tujuh kali menegaskan calon pilihannya perlu ada pakej secukupnya untuk bertugas selaku Yang Berhormat (YB) iaitu bekerja untuk rakyat.
Seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali Wong, 55 turut tidak menjadikan warna parti sebagai pilihan utama.
"Asalkan calon itu boleh buat kerja, bagus dan mampu untuk bertugas menjaga rakyat, saya pun tak kisah orang luar atau tempatan," ujar dia lagi.
Turut tidak kisah calon luar atau tempatan, seorang pekerja ekspo, Mohd Suzairi Ahmad Zakaria,26 mengakui ia tidak menjadi keutamaan buatnya asalkan calon terbabit memiliki kemampuan dan rekod yang baik.
Sementara itu, buat pengundi kali pertama, Mohd Ilham Rosedi, 21 pula memberitahu, dia juga tidak kisah parti mana namun calon anak tempatan sebagai pilihan utamanya
"Saya tak kisah dari mana-mana parti tapi sejujurnya nak calon anak tempatan dengan pakej lain seperti rajin, amanah dan berkemampuan membantu pengundi nanti," akuinya teruja untuk mengundi pada 19 November depan.