PENAMPANG - Demi sebuah konten dan mengejar jumlah tontonan yang tinggi di media sosial, sepasang suami isteri sanggup melakukan rakaman video berlakon diserang pembuli jalanan di Jalan Putatan pada Isnin.
Dua video masing-masing berdurasi tiga minit 35 saat dan empat minit tiga saat itu memaparkan perbuatan pemandu sebuah kenderaan sedang membuli pemandu yang lain dengan cara kekerasan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya terkesan dengan dua video yang tular di media sosial baru-baru ini.
"Hasil siasatan mendapati tujuan video itu dimuat naik adalah untuk konten di media sosial dan ia hanya sekadar lakonan untuk meraih jumlah tontotan yang tinggi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Susulan daripada itu, Mohd Haris berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Orang awam juga dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memuatnaik dan berkongsi bahan di media sosial kerana dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran kepada masyarakat," ujarnya.