USIA bukan penghalang buat legenda rali negara, Karamjit Singh untuk sekali lagi melakar sejarah, apabila merangkul tiga kejuaraan pada perlumbaan di Muara Bungo, Jambi, Indonesia yang berlangsung pada Jumaat hingga Ahad lalu.
Pelumba berusia 60 tahun yang dikenali sebagai 'Flying Sikh' itu, mencipta sensasi dengan menggunakan jenama kereta nasional Proton Gen2 berusia 16 tahun, untuk menggondol sebanyak 12 trofi dalam tiga kejohanan disertainya, bersama rakan sepasukan yang juga merupakan jurumudi Jagdev Singh.
Iklan
Iklan
Juara Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) 2001 itu berjaya mendominasi APRC 2022 pusingan kelima acara Sprint Rally M3 pada Jumaat, sebelum bergelar johan Kejurnas Rali Indonesia acara 'National Rally', pusingan ketiga dan keempat pada Sabtu dan Ahad.
Mengulas mengenai pencapaiannya, Karamjit berkata, meskipun menggunakan jentera usang, ia bukanlah penghalang buatnya untuk terus mengharumkan nama negara, dengan mengatasi kereta lebih canggih bernilai RM1.5 juta.
"Sukan permotoran memang mahal, tapi dengan usaha dan bantuan daripada pencabar lain dari Indonesia yang bantu saya, saya mampu capai juga kejayaan ini, dan banyak lagi kejayaan saya nak buru," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.
Karamjit pada masa sama memaklumkan turut menyasarkan untuk menyertai APRC tahun depan dengan menggunakan jentera R5 Proton Iriz.
Beliau sebelum ini telah menyertai Kejuaraan Rali Indonesia dan pusingan keempat APRC 2022 di Danau Toba, Indonesia namun tidak berjaya menjuarai mana-mana kategori susulan terdapat kerosakan pada jenteranya. - Bernama