PENANG FC tekad menjadikan pentas Piala Malaysia sebagai medan kebangkitan selepas dibelenggu prestasi hambar saingan Liga Super sebelum ini.
Itu jaminan pengendali sementara Harimau Kumbang, Manzoor Azwira, yang tekad mahu memulihkan semula maruah skuad Haria Penang Haria bermula dengan kejuaraan tertua bola sepak Asia Tenggara tersebut.
Namun Manzoor, tidak memandang rendah kemampuan kelab Liga Premier, Kuching City FC, dikendalikan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti.
"Peluang untuk semua pasukan mencipta kejutan di pentas Piala Malaysia adalah sama rata kerana kejutan sentiasa terjadi berdasarkan format timbal balik kalah mati.
"Melihatkan perjalanan Penang yang suram di Liga Super musim ini, sememangnya ini bukan satu kelebihan kepada kami tetapi saya menyeru para pemain untuk bangkit.
"Inilah detik terbaik kepada pemain-pemain untuk tebus maruah Penang selepas apa yang terjadi di Liga Super, sekiranya kalau dapat layak sekurang-kurangnya ke suku akhir, saya rasa ini sesuatu yang sangat baik,” katanya.
Untuk rekod, Manzoor mengambil tempat Datuk Zainal Abidin Hassan pada 12 Oktober lalu selepas bekas pengendali Selangor, Melaka United dan Pahang itu tidak mampu membawa Penang keluar dari kedudukan tercorot liga berbekalkan hanya dua kemenangan sahaja dari 22 perlawanan.
Sentuhan Manzoor bersama Harimau Kumbang mula memberi petanda positif apabila mengikat Selangor FC kendalian Tan Cheng Hoe, 1-1 dalam aksi terakhir liga pada 15 Oktober lalu.
Ini merupakan kali kedua Manzoor diberi peranan selaku pengendali sementara apabila pernah mengambil tempat Tomas Trucha pada 30 April sebelum Zainal diberikan tugasan selaku ketua jurulatih pada 1 Jun.
Pada masa sama Manzoor mengingatkan para pemain Harimau Kumbang untuk berwaspada dengan muslihat kelab dari Kepulauan Borneo tersebut.
"Kuching di bawah Irfan, pasti akan memberikan kesukaran kepada kami berdasarkan pengalaman luasnya di Liga Malaysia dan kami tidak boleh mengambil mudah cabaran mereka.
"Kami akan cuba dapatkan bekalan selesa sebelum bertandang ke Kuching dengan gunakan kelebihan beraksi di Stadium Bandaraya kerana sedar lawan sentiasa beraksi baik jika bermain di laman sendiri,” katanya.
Mengenai kelibat penyerang Kuching City, Abu Kamara yang muncul penjaring terbanyak Liga Premier 2022, Manzoor menegaskan Abu Kamara perlu diberi perhatian rapi.
"Bila sudah muncul penjaring terbanyak liga, sudah pasti keyakinan seseorang pemain itu berada di tahap memuncak untuk kekalkan momentum dalam tiap perlawanan.
"Jadi, saya harap pertahanan dapat berikan perhatian istimewa kepada Kamara yang pasti memberikan banyak masalah kepada kami selain pemain-pemain lain,” katanya.
Penang FC akan menyingkap saingan aksi timbal balik pertama Pusingan 16 Piala Malaysia, berdepan Kuching City FC di Stadium Bandaraya pada Rabu.
Piala Malaysia
Perlawanan Pertama Pusingan
16 RABU (26 OKTOBER)
UiTM FC lwn Sabah FC
(Std UiTM, Shah Alam, 8.15 malam)
Sarawak United lwn Kelantan FC
(Std Negeri, 8.15 malam)
Kelantan United lwn Selangor FC
(Std Sultan Muhammad IV, 9 malam)
Penang FC lwn Kuching City FC
(Std Bandaraya, 9 malam)
PJ City lwn JDT
(Std Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)
Kedah Darul Aman lwn Negeri Sembilan FC
(Std Darul Aman, 9 malam)
KHAMIS (27 OKTOBER)
PDRM FC lwn Kuala Lumpur City
(Std Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 malam)
Sri Pahang lwn Terengganu FC
(Std Darul Makmur, 9 malam)