SHAH ALAM - Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) memberi manfaat kepada usahawan muda untuk menceburi bidang pertanian dan keusahawanan sekali gus mengembangkan perniagaan mereka pada masa hadapan.
Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP) dalam kenyataan berkata, inisiatif tersebut mempunyai sepuluh bidang pengajian ditawarkan secara percuma kepada belia berusia 18 hingga 25 tahun yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang agromakanan.
"Ramai pelatih telah menjadi usahawan dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan pertanian dan menikmati pendapatan lumayan antara RM4,000 sebulan sehingga puluhan ribu ringgit bagi setiap pusingan.
"Kualiti penyampaian latihan telah dipertingkatkan bagi menambahbaik kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang terkini seperti model kilang tanaman, ‘Internet of Things’ (IoT), ‘closed house’ (kandang tertutup) ternakan ayam dan lembu, dan tanaman, penggunaan dron untuk membaja dan racun serta kolam pembelajaran akuakultur,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut kenyataan tersebut, setiap program dijalankan dengan berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SPKP). Ulasnya, bidang pengajian yang ditawarkan itu pula meliputi pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu hingga Tahap Tiga dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap Empat.
"Kursus yang ditawarkan adalah dalam bidang Tanaman, Ternakan Ruminan, Ternakan Poltri, Pengeluaran Padi, Akuakultur Air Tawar, Akuakultur Marin, Pemprosesan Makanan, Teknologi Perikanan Tangkapan, Pemasaran, Mekanisasi dan Automasi.
"Objektif utama PLKPK antaranya, melahirkan usahawan tani yang berkeyakinan, berkemahiran, berdaya saing dan juga melahirkan tenaga kerja mahir serta profesional yang akan berkhidmat di dalam sektor swasta bidang pertanian,” ujarnya.
Tambah kenyataan berkenaan, kursus yang ditawarkan itu tidak dikenakan yuran pengajian malah, pelajar turut menerima elaun sebanyak RM200 hingga RM300 setiap bulan, penginapan dan makan serta minuman sehingga tamat tempoh pengajian."Kursus ini memfokuskan 30 peratus teori dan 70 peratus latihan amali manakala kurikulum pembelajaran disemak setiap lima tahun serta turut membabitkan penglibatan industri yang berkaitan pertanian.
"Subsektor agromakanan memberi pulangan lumayan kepada graduan BPKLP menjadi usahawan dalam sektor ini. Kursus poltri dan ruminan menjadi pilihan utama pelatih kerana mempunyai potensi besar dan memberikan hasil pendapatan yang tinggi,” jelasnya.
Jelas kenyataan itu, kejayaan program PLKPK ini dapat dilihat melalui kemampuan para graduan untuk menjadi usahawan yang berjaya dan menjadi pekerja mahir kepada syarikat swasta serta memperoleh pendapatan yang lumayan. Katanya, kemahiran yang mereka pelajari di pusat latihan banyak membantu para pelatih masuk ke alam pekerjaan.
"Sejak tahun 2004, BPKLP telah melahirkan 7,875 graduan (SKM) dan (DKM) dan seramai 22,157 individu telah menyertai kursus jangka pendek yang telah dianjurkan dengan fokus kepada bidang pertanian,” ujarnya.
Pendedahan ilmu
Dalam pada itu, salah seorang usahawan PLKPK, Norfasihah Adilah Auni Ismail, 26, berkata, pelaksanaan projek dan latihan praktikal melalui program berkenaan telah memberi banyak pendedahan ilmu dan kemahiran berkaitan pertanian dan keusahawanan.
Norfasihah yang kini mengusahakan perniagaan kafeteria di Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis berkata, pengajaran langkah demi langkah, projek akhir tahun dan latihan praktikal turut membantu para peserta untuk menerapkan apa yang mereka pelajari sepanjang dalam program tersebut.
"Selepas tamat program saya lebih bersemangat untuk bekerja, produktif dalam menguruskan perniagaan. Saya ada perancangan perniagaan sendiri sebab apa yang dipelajari itu kita dapat diaplikasikan terus dalam perniagaan.
"Kalau ada yang saya perlukan bimbingan, saya akan hubungi pensyarah, tenaga-tenaga pengajar yang lain atau agensi berkaitan untuk membantu saya,” katanya.
Sementara itu, usahawan ternakan lembu dan tanaman, Muhammad Faiz Mohd Nor, 27, turut akui program berkenaan memberi pendedahan asas-asas pertanian dan keusahawanan secara menyeluruh untuk usahawan baharu menceburi bidang berkenaan.
"Ilmu yang saya dapat sepanjang program ini memang bermanfaat dan membantu mengembangkan perniagaan. Apabila berlaku apa-apa masalah melibatkan penternakan, saya tahu siapa yang boleh saya hubungi untuk dapatkan bantuan dan sebagainya,” jelasnya.
Selain itu, usahawan pengedar dron pertanian, Muhammad Fawwaz Mohd Pozi, 26, berkata, perniagaannya dapat berkembang lebih jauh hasil sambutan yang menggalakkan dalam kalangan petani khususnya di kawasan utara.
Ujarnya, program tersebut membantunya untuk mengaplikasi serta melihat keberkesanan dron dari segi sukatan racun, penanaman baja dalam pertanian, penjimatan masa serta tenaga pekerja."Program ini sangat membantu usahawan muda dan membuka minda kami untuk belajar lebih lagi tentang teknologi dan inovasi pertanian.
"Di Malaysia mungkin masih belum sepenuhnya lagi, tetapi di negara-negara luar semuanya sudah menggunakan teknologi pertanian,” katanya.
Bagi usahawan ternakan ikan keli dan tanaman, Razin Naif Zainal, 22, usahawan-usahawan muda turut dapat berkongsi idea dan pengalaman dalam pertanian melalui platform PLKPK.
"Dulu, mungkin saya waswas apabila nak buat sesuatu perkara tetapi selepas program ini, saya lebih yakin dan banyak perkara baharu yang saya nak cuba."Dengan pertukaran maklumat bersama rakan-rakan, banyak perkara yang saya tahu contohnya aktiviti pengairan, pemakanan dan juga penyakit-penyakit melibatkan ikan,” ujarnya.
Syarat permohonan dan kemudahan:
- Warganegara Malaysia.
-Berumur 18 hingga 25 tahun.
- Boleh membaca, mengira dan menulis.
- Sihat tubuh badan.
- Yuran pengajian percuma.
- Elaun RM200 hingga RM300.
- Penginapan disediakan.
- Makan dan minum disediakan.
- Permohonan dibuka sepanjang tahun.