Kanak-kanak main di balkoni: Ibu bapa dipanggil polis

Iklan

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan ibu bapa dua kanak-kanak yang tular di media sosial bermain di tepi balkoni tingkap di sebuah kondominium di Taman Setapak di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan dipanggil untuk dirakam percakapan oleh pegawai penyiasat.

Iklan
Iklan

"Pasangan tersebut telah dibenarkan pulang malam tadi (Selasa), pegawai penyiasat akan melengkapkan siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ashari berkata, satu laporan berkaitan kejadian itu dibuat oleh Pegawai Polis dari Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak (2001).

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Iklan

Pada Selasa, satu video tular berdurasi 11 saat memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan adik lelakinya berusia dua tahun berada di balkoni tingkap kediaman terbabit.