Semangat baharu Kedah hadapi Piala Malaysia

Iklan
Victor (tiga kanan) mengharapkan anak buahnya memberikan persembahan terbaik menentang Negeri Sembilan pada malam Rabu. - Foto KDA FC

PEMANGKU Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag mengharapkan anak buahnya turun dengan semangat baharu menghadapi Negeri Sembilan pada perlawanan pertama Piala Malaysia 2022 pada malam Rabu.

Menurutnya, pengalaman bertemu Sang Rusa di Liga Super 2022 sebelum ini akan digunakan sebaik mungkin apabila melayan kunjungan pasukan tersebut di Stadium Darul Aman.

Iklan
Iklan

"Tiada banyak perubahan yang dapat kita lakukan dalam tempoh yang singkat ini namun ada beberapa perkara yang diubah dan diberikan pendekatan sebaik mungkin.

"Harap apa yang dibuat dalam latihan dapat dibawa oleh semua pemain dalam pada perlawanan sebenar.

Iklan

"Kami sudah bertemu dua kali dengan Negeri Sembilan sebelum ini dan kami mempelajari bagaimana kelemahan benteng kami dibolosi," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Victor menjelaskan tumpuan perlu diberikan kepada barisan pertahanannya kerana pasukan pelawat memiliki pemain yang berpengalaman di semua posisi yang mampu memberikan ancaman.

Iklan

"Pemain Kedah perlu turun dengan motivasi yang tinggi memberikan saingan yang diharapkan dan saya mahu pemain mulakan aksi Piala Malaysia ini semangat baharu dan terbaik di laman sendiri malam ini," ujar Victor.

Mengulas lima pemain importnya pula, beliau yang merupakan kapten di zaman kejayaan 'Double Treble' berkata, beberapa pemain yang cedera sebelum ini sudah kembali pulih dan menjalani latihan bersama pasukan.

"Kita tahu pemain import yang cedera pada aksi akhir Liga Super adalah Ronald Ngah dan Marc Vales dan mereka baru sahaja kembali menjalani latihan bersama pasukan semalam.

"Kecergasan mereka mungkin belum 100 peratus, namun kita berharap mereka dapat memberi komitmen terbaik kepada pasukan dalam aksi ini," jelas beliau lagi.