Lelaki maut tercampak keluar dari kereta

Iklan
Keadaan kemalangan di persimpangan lampu isyarat Taman Kosas, Ampang pada Selasa.

AMPANG - Seorang lelaki tercampak keluar dari kereta dipandunya selepas dilanggar sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Taman Kosas di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital keesokan hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Waja telah melanggar sisi kereta Perodua Alza dipandu mangsa yang sedang membelok ke kanan masuk ke Bandar Baru Ampang.

"Kedua-dua pemandu lelaki mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pada keesokan kira-kira jam 7 pagi, mangsa iaitu pemandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca dari kecuaian salah seorang pemandu yang gagal mematuhi lampu isyarat merah hingga menyebabkan kemalangan.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tambahnya, saksi bebas yang menyaksikan insiden terbabit diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093.