JOHOR BAHRU - Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000 lima tahun lalu.
Tertuduh, Azman Abdul Rahman, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) didakwa menerima suapan bernilai RM4,000 daripada pemilik sebuah pusat sukan.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan di pejabatnya pada Julai dan September 2017 sebagai balasan bagi mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan alatan sukan untuk persediaan dan kegunaan pelajar, selain membekal pakaian kontinjen bagi Karnival Kokurikulum Matrikulasi, KMJ 2018.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama selain berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima suapan bernilai RM1,000 melalui transaksi ke akaun bank miliknya daripada seorang pengurus besar sebuah syarikat pembersihan yang mana tertuduh tahu ia mempunyai kaitan dengan tugas rasminya di sebuah bank di Pagoh, Muar, pada 22 Ogos 2017.
Atas kesalahan berkenaan, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor mencadangkan agar ikat jamin RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh atas semua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport miliknya perlu diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan lima orang anak dan tiga daripadanya masih menuntut di universiti.
Selain itu, tertuduh mengakui turut menanggung seorang isteri dan ibu bapa pula menghidap kencing manis, darah tinggi dan masih mendapatkan rawatan susulan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes terutama bagi lantikan peguam dan serahan dokumen ditetapkan pada 22 November depan.