KUALA LUMPUR - Sekumpulan perusuh bertindak agresif dengan membakar kereta dan tayar serta melontar 'molotov cocktail' sehingga mengakibatkan suasana hura-hara ketika pilihan raya.
Bagaimanapun keadaan itu dapat dikawal dan dileraikan dengan pancutan air daripada jentera Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) selepas perusuh menyerang anggota pasukan keselamatan.
Suasana itu sebenarnya hanya demostrasi latihan bersepadu kawad cegah rusuhan Pasukan FRU bersama Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) dan unit khas Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) di Kompleks FRU di sini pada Rabu.
Senario latihan itu bagi mengawal ancaman ketenteraman awam dan menangani perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Ia bertujuan untuk mengambil tindakan awal bagi mengawal serta menyuraikan sesuatu insiden rusuhan selain untuk membuat penilaian dan tinjauan ancaman yang berlaku di lokasi kejadian. LSF mampu untuk mengawal perhimpunan yang berskala kecil.
Sekiranya peserta perhimpunan yang menyalahi undang-undang tidak dapat dikawal oleh pasukan LSF dan jumlah peserta perhimpunan semakin bertambah, pasukan PORU dari Pasukan Gerakan Am (PGA) akan diatur gerak ke lokasi untuk menangani situasi ancaman ketenteraman yang berlaku
Pasukan FRU akan diatur gerak bagi menangani kumpulan perhimpunan tersebut jika situasi ketenteraman awam ini tidak dapat lagi dikawal dan peserta perhimpunan semakin bertambah serta bertindak di luar kawalan serta agresif (merosakkan harta benda awam, mengancam nyawa, hingga menimbulkan kegemparan awam).
Pasukan FRU mempunyai kekuatan dan kelengkapan yang sesuai untuk menangani kumpulan perusuh yang agresif serta mengawal situasi ketenteraman awam yang berskala besar.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin yang mengadakan lawatan kerja ke FRU turut melihat demostrasi tersebut.