Rumah dibakar disyaki perbuatan along Singapura

Iklan
Keadaan kenderaan yang terbakar selepas kejadian terbabit.

SEREMBAN - Sebuah keluarga di Taman Seremban Tiga di sini berada dalam ketakutan selepas kediaman mereka didakwa dicurah petrol sebelum dibakar dipercayai perbuatan along dari Singapura.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi Rabu itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis Mercedes bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Iklan
Iklan

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 44, berkata, enam ahli keluarganya termasuk dua warga emas berjaya menyelamatkan diri sebaik dikejutkan oleh jiran yang menyedari kediaman mereka terbakar.

"Sebelum kejadian along tersebut telah meninggalkan nota amaran supaya membayar wang yang dipinjam berserta nombor telefon Singapura," katanya pada Rabu.

Iklan

Jelasnya, sebelum ini ibunya telah membantu melunaskan pinjaman adiknya itu dengan membayar SGD$10,000 (RM30,400) kepada along terbabit.

"Kami sekeluarga kini dalam ketakutan dan bimbang akan terus diganggu dan disebabkan adik saya tidak dapat dihubungi jadi sukar untuk mendapatkan penjelasan," katanya.

Iklan

Jelas Wong, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat dua lelaki menaiki sebuah kereta dengan salah seorang daripada mereka mencurahkan petrol menggunakan baldi ke hadapan rumah sebelum menyalakan api.

"Seorang lagi merakam kejadian itu dengan telefon bimbit. Percubaan pertama mereka (membakar) gagal sebelum beredar dan kemudian lelaki sama datang semula menyalakan api ke arah rumah," jelasnya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata, kebakaran melibatkan garaj hadapan sebuah rumah teres dua tingkat.

"Terdapat sebuah kereta Mercedes terbakar 100 peratus dan sebuah Toyota Vios terbakar dua peratus.Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera," katanya.