KUALA LUMPUR - Lagak 14 penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), dekat sini 'makan diri' apabila ditahan polis pada Ahad.
Kesemua penunggang motosikal itu ditahan secara berasingan menerusi Op Samseng Jalanan bermula jam 2.05 pagi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Memetik info di Facebook rasmi JSPT, kesemua tangkapan berusia lingkungan 19 hingga 29 tahun.
"Tangkapan pertama berjaya menahan sembilan penunggang selepas dikesan melakukan aksi 'Superman', zig-zag, menundukkan badan dan bersaing sesama sendiri di Lebuhraya Elite.
"Tangkapan seterusnya membabitkan seorang penunggang motosikal yang turut dikesan melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Tambahnya, empat lagi penunggang turut ditahan selepas melakukan aksi samseng jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban.
Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan BSPT IPD Serdang untuk tindakan lanjut.
"Polis turut menyita motosikal jenis Yamaha Y16ZR, Yamaha 135LC, Yamaha Y15ZR, Honda RSX dan Yamaha 125Z.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya.