PKR umum tujuh calon tokoh pelbagai bidang bertanding PRU15

Iklan
Anwar (dua dari kiri) berucap ketika sidang media pengumuman calon Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) di sini pada Rabu.

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tujuh calon baharu daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara calon tersebut ialah ilmuwan agama, Nik Omar Nik Abdul Aziz; Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Iklan
Iklan

Selain itu katanya, turut dicalonkan bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi di Universiti Malaya (UM), Dr Nur Aisyah Abdul Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop dan siswazah dari UM, Fathin Amelina Fazlie.

"PKR dan Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan beberapa tokoh istimewa yang mempunyai kemahiran dan keterampilan tertentu untuk kita persembahkan kepada rakyat dan menunjukkan seriusnya kita untuk menampilkan tokoh-tokoh yang berwibawa.

Iklan

"Semua calon yang saya umum hari ini adalah untuk kuota PKR," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pengumuman calon Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) di sini pada Rabu.

Iklan

Bagaimanapun, Anwar tidak menyatakan kerusi khusus bagi calon yang diumumkan.

"Senarai penuh yang mewakili PKR akan diumumkan Jumaat ini.

"Terdapat ramai lagi calon yang akan diumumkan nanti, cuma hari ini kita tonjolkan sebahagian calon utama oleh kerana kesuntukan masa, kita umumkan sekali pada 28 Oktober ini," ujarnya.

Untuk rekod, Zainal Azman dan Nik Omar akan bertanding di Perak, Hassan Basri Awang (Pahang), Saipolyazan (Selangor) Jufitri (Negeri Sembilan) dan Fathin Amelina (Perlis).

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Ahmad.