Armada mahu calon Bersatu di Parlimen Jasin

Iklan
Muhammad Jefri (dua dari kiri) mewakili suara anak muda mahukan calon Bersatu bertanding di Parlimen Jasin.

JASIN - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin menuntut Perikatan Nasional (PN) memberi laluan kepada calon parti mereka untuk bertanding di kerusi Parlimen Jasin.

Ketuanya, Muhammad Jefri Safry berkata, ini kerana terdapat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Jasin yang dimenangi calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung November tahun lalu berbanding calon Pas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemenangan di DUN Bemban dan kekalahan tidak banyak calon daripada Bersatu menunjukkan bahawa calon parti itu lebih relevan untuk diangkat di pentas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam Parlimen Jasin.

"Statistik PRN Melaka menunjukkan lima calon PN yang mana tiga daripada Bersatu dan dua Pas namun kemenangan satu kerusi oleh calon Bersatu.

Iklan

"Oleh itu kami Armada Bahagian Jasin menuntut pimpinan tertinggi PN dapat semak semula perkara ini dan mendengar suara kami," katanya ketika sidang akhbar di bandar Jasin di sini, pada Rabu.

Jelas beliau, ketegasan itu dibuat bagi mewakili hasrat hati golongan muda yang telah menilai sendiri perjalanan PN di Parlimen berkenaan.

Iklan

Malah beliau tidak menolak sekiranya pandangan dan cadangan itu tidak diambil perhatian, pihaknya akan melakukan protes untuk tidak keluar mengundi pada 19 November depan.

Ahad lalu media melaporkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon PN bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15.

Pengumuman itu dibuat ketika program Prihatin Parlimen Masjid Tanah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Melaka di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah.

Namun calon di lima lagi kerusi Parlimen negeri ini masih belum diumumkan termasuk Parlimen Alor Gajah, Kota Melaka, Jasin, Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya.