PADANG TERAP - Kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor Sanusi yang dilihat bersih, telus dan berintegriti mampu menjadi faktor menarik pengundi bagi membantu Perikatan Nasional (PN) menang besar di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, keyakinan itu berdasarkan kajian yang telah dibuat, termasuk kejayaan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah mentadbir negeri dengan membawa pelaburan asing tinggi masuk ke negeri ini.
Menurutnya, hasil kajian juga menunjukkan sokongan rakyat kepada PN semakin meningkat berdasarkan peningkatan undi kepada gabungan parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.
"Kayakinan ini atas beberapa faktor dan trend sokongan rakyat itu terutama sekali di Kedah dibawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilihat bersih, telus dan ada integriti.
"Sebab itu kita tak terkejut Kedah pada tahun lepas merupakan salah satu negeri yang mencatat pertumbuhan ataupun jumlah kemasukan pelaburan yang begitu tinggi dan menjadi sejarah untuk negeri ini," katanya pada pemberita Selasa.
Khairul Anuar yang juga Ketua Penerangan PN Kedah berkata, Bersatu yang ditubuhkan pada 2016 adalah parti baharu namun telah memberikan impak yang besar kepada politik dan juga kepimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
"Perlu diingat bahawa setakat ini sudah ada dua Perdana Menteri dari Bersatu walaupun parti ini masih baru. Kita juga berjaya mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat untuk membuat perubahan dalam PRU14," katanya mengulas tentang kekuatan parti tersebut menjelang PRU15 pada 19 November depan.
Tambahnya, Bersatu sering digambarkan sebagai parti kecil ataupun parti nyamuk yang tidak akan memberikan kesan dalam perjalanan politik di negara ini.
"Secara logiknya bila sesebuah parti itu diserang secara berterusan sudah tentulah dia ada kesan atau impak dalam politik negara yang menyebabkan musuh politik ini rasa bimbang dan gerun," ujar Khairul Anuar.