Lando dedah pernah cuba dirasuah

Iklan
Lando (kanan) dalam rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertajuk Jalan Raya Undang Maut.

SHAH ALAM - Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi memberitahu dia sudah banyak kali cuba dirasuah sepanjang 17 tahun menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

"Sebenarnya kalau dua kali je (dirasuah), saya dah boleh jadi jutawan. Tetapi, saya tolak. Bukan setakat saya sahaja, budak Brotherhood yang turap lubang malam-malam, kadang-kadang ada kereta lalu bukan nak bagi sedekah, tetapi dia campak duit yang diisi dalam sampul surat. Duit dalam tu ada beribu.

Iklan
Iklan

"Tetapi, budak Brotherhood tak ambil dan mereka kejar balik kereta itu dan campak duit itu," katanya.

Mengulas isu sama, beliau mendakwa penyediaan dana untuk sistem penyelenggaaran jalan raya di Malaysia ini caca marba dan tiada keseragaman.

Iklan

"Jadi macam mana jalan raya kita nak elok? Jabatan Kerja Raya nak minta dana pun selalunya kena menunggu lama. Di Singapura contohnya ada Land Transport Authority, mereka inilah yang kutip cukai jalan, mereka jugalah yang pantau tentang jalan, kalau nak baiki jalan mereka sudah ada duit kecemasan untuk digunakan. Kan senang begitu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertajuk Jalan Raya Undang Maut yang dihoskan Asmaliza Mansor yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, Lando turut mengharapkan pihak bertanggungjawab bersedia untuk membaiki jalan ketika bencana banjir yang dijangka berlaku bulan depan.

Menurutnya, musuh utama kepada tar jalan raya adalah air yang menyebabkan jalan mudah rosak.

"Perparitan yang tidak sempurna juga menjadi sebab jalan rosak apabila banjir berlaku.

"Jadi, kami sendiri juga sudah bersedia untuk menurap jalan secara kecemasan di jalan utama termasuk jalan berkaitan kawasan perumahan. Setiap kali musim banjir kita ada unit yang sudah bersedia.

"Sekarang juga kita ada kerjasama dengan NGO yang ada kelengkapan bot untuk memberikan bantuan dan menyelamatkan mangsa," katanya.

Menyentuh mengenai PRU15, Lando mengharapkan supaya wakil rakyat yang terpilih akan datang lebih bertanggungjawab kerana mereka memegang amanah berbayar yang sangat berat.

"Saya sebut berbayar tu sebab ramai ingat percuma. Contohnya YB datang buat makan, dia ingat YB ini baik, dia tak fikir itu duit kita. YB ini potong riben rasmi jalan raya baharu, orang akan anggap dia yang buat jalan. Tetapi bukan dia, orang JKR, pekerja konsesi yang buat jalan.

"Jadi, sebagai pengundi sendiri kita kena ubah dan jangan taksub sangat dengan orang dan YB. Kita kena baiki sistem kita. YB ini adalah elemen untuk laksanakan dan percepat sesuatu perkara.

"Kepada menteri, kalau dipilih tolonglah ubah akta yang lapuk itu. Ini tidak, Akta Jalan Raya masih 1987 dan sudah lapuk. Banyak sangat akta yang boleh digubal. Sebagai pengundi dan pembayar cukai pula, gunakan kuasa satu jari untuk memilih pemimpin yang betul," katanya.