LONDON - Perdana Menteri baharu Britain, Rishi Sunak pada Selasa mengumumkan barisan kabinet baharunya dengan perpaduan dalam parti menjadi pertimbangan utamanya, lapor Anadolu.
Jeremy Hunt, seorang sentris, kekal sebagai Canselor (Menteri Kewangan), dengan James Cleverly, sekutu bekas Perdana Menteri Boris Johnson, juga mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha Luar dalam usaha Sunak untuk mengekalkan kestabilan kerajaan.
Suella Braverman pula kembali sebagai Setiausaha Dalam Negeri selepas meletak jawatan beberapa hari lalu kerana melanggar kod tatalaku menteri, selain beliau juga berselisih dengan bekas Perdana Menteri, Liz Truss dalam mengetatkan kawalan imigresen.
Braverman mewakili sayap kanan parti dan pelantikan semula beliau sekali gus memberikan puak itu wakil dalam kabinet Sunak.
Dominic Raab, seorang penyokong Sunak, akan memainkan semula peranannya sebagai Setiausaha Kehakiman dan Timbalan Perdana Menteri, jawatan yang disandangnya semasa pemerintahan bekas perdana menteri Boris Johnson.
Steve Barclay pula ialah Setiausaha Kesihatan baharu, menggantikan Therese Coffey, sekutu terdekat dan Timbalan Perdana Menteri Liz Truss, pendahulu Sunak yang meletak jawatan selepas 49 hari memegang jawatan. Coffey kini menjawat jawatan sebagai Setiausaha Alam Sekitar.
Ben Wallace telah dilantik semula sebagai Setiausaha Pertahanan, dan Gillian Keegan sebagai Setiausaha Pendidikan.
Penny Mordaunt kekal sebagai ketua Dewan Perwakilan House of Commons. Beliau dua kali cuba untuk mendapatkan sokongan untuk dilantik sebagai pemimpin parti, dengan kali pertama beliau gagal dan pada kali kedua menarik diri daripada pertandingan pada saat akhir pada Isnin selepas gagal mencapai sokongan yang diperlukan.
Michael Gove, seorang tokoh berpengaruh dalam Parti Konservatif, akan kembali sebagai Setiausaha Perumahan dan Komuniti serta Penaik Taraf serta Menteri Perhubungan Antara Kerajaan, yang dipecat daripada jawatan itu pada hari-hari terakhir pentadbiran Johnson sebagai Perdana Menteri.
Kemi Badenoch, seorang bintang parti sayap kanan yang sedang meningkat naik berdasarkan pendiriannya dalam 'perang budaya' dan pendirian lembut terhadap krisis iklim, kekal sebagai Setiausaha Perdagangan Antarabangsa.
Alister Jack dan Chris Heaton-Harris masing-masing dilantik semula sebagai Setiausaha Scotland dan Ireland Utara, dan David TC Davies menjadi Setiausaha Wales.
Nadhim Zahawi dilantik sebagai pengerusi baharu Parti Konservatif. - Bernama