SHAH ALAM - Empat daripada enam mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter terhempas berhampiran Tanah Rata, Cameron Highland dilaporkan mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo mengesahkan lima penumpang dan seorang juruterbang yang berada dalam helikopter Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW itu berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan, pihaknya sedang memantau keadaan dan situasi yang dikemas kini oleh CAAM dari semasa ke semasa.
Ujarnya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan akan turut menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas tersebut.
"Mereka perlu lebih berwaspada lebih-lebih lagi faktor cuaca buruk pada ketika ini,” jelasnya.
Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan tugas sehabis baik dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Kesemua enam mangsa nahas di bawah penyelarasan CAAM dan kini mangsa-mangsa dibawa ke hospital,” katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang penumpang helikopter yang terhempas ketika melakukan pendaratan cemas di hutan Brinchang, Cameron Highlands dilaporkan patah paha manakala lima yang lain termasuk juruterbang hanya cedera ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, semua mangsa ditemui selepas lokasi helikopter itu berjaya dikenal pasti berhampiran Big Red Brinchang, kira-kira jam 3.51 petang.
Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa terdiri tiga wanita dan tiga lelaki itu dilakukan dengan bantuan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) dan Pasukan Multiskill (Must) yang dikerahkan ke lokasi kejadian.
Susulan itu, Pusat Kawalan Operasi Kecemasan (EOC) CAAM dan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautial (ARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang telah diaktifkan pada jam 1.11 petang.