SINGAPURA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu diberikan Sambutan Negara sempena lawatan negara Seri Paduka Baginda ke Singapura.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mengiringi Al-Sultan Abdullah ke upacara yang diadakan di Istana, Orchard Road di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda kira-kira jam 5.30 petang disambut oleh Presiden Singapura Halimah Yacob dan suami, Mohammed Abdullah Alhabshee.
Yang di-Pertuan Agong kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormatan dengan diiringi Halimah, sebelum Seri Paduka Baginda menandatangani Buku Pelawat Presiden.
Seri Paduka Baginda turut diperkenalkan kepada barisan Kabinet Menteri Singapura sebelum berangkat ke Majlis Penamaan Orkid yang dinamakan sempena dengan nama Tunku Azizah iaitu"Queen Azizah of Malaysia”.
Selepas majlis itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengadakan pertemuan dengan Halimah dan Mohammed kira-kira setengah jam sebelum berangkat ke Majlis Santapan Negara di kediaman dan pejabat rasmi Presiden Singapura itu.
Pertemuan itu merupakan kali kedua antara Al-Sultan Abdullah dan Halimah selepas Seri Paduka berkenan menerima menghadap Halimah di London, United Kingdom pada 18 September lepas berikutan kedua-dua pemimpin menghadiri Istiadat Pemakaman Negara mendiang Ratu Elizabeth Il.
Lawatan negara ke Singapura pada asalnya dijadualkan 19 hingga 21 September namun ditangguhkan susulan Seri Paduka Baginda mewakili Malaysia ke istiadat pemakaman negara itu pada 16 hingga 21 September lepas.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kini dalam rangka lawatan negara ke Singapura selama empat hari bermula semalam, bagi mencerminkan hubungan dua hala yang rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura yang bermula sejak 57 tahun lepas. - Bernama