Selangor FC raih bekalan selesa di Kota Bharu

Iklan
Caion meraikan jaringan yang dihasilkannya selepas membantu Selangor FC meraih kemenangan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi. -Foto: Selangor FC

JUARA 33 kali, Selangor FC menepati ramalan apabila mudah menjinakkan Kelantan United 2-0 pada aksi pembuka tirai Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu.

Pada perlawanan itu, pelawat dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan menerusi beberapa percubaan menarik di depan gawang tuan rumah, namun dinafikan dek ketumpulan jentera penyudah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tuan rumah cuba bangkit untuk mengimbangi permainan menerusi beberapa serangan balas tetapi gagal menemui gawang gol.

Pelawat yang mencari gol pembukaan akhir hadirnya pada minit ke-37 menerusi tandukan tepat Herlison Caion sekali gus menewaskan penjaga gawang Kelantan United, Mohammad Fikri Che Soh untuk membawa Selangor FC di depan.

Iklan

Lapan minit berselang, tuan rumah berpeluang menyamakan, namun rembatan Nik Azli Nik Alias tersasar dan keputusan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan United yang tampil dengan aksi lebih kemas terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat, bagaimanapun rembatan Khairul Rizam Che Soh pada minit ke-54 sekadar melewati gawang gol pelawat.

Iklan

Selangor FC yang bangkit melancarkan serangan balas tiga minit selepas itu berpeluang mengukuhkan kedudukan, namun percubaan Brendan Gan dari luar kotak penalti sekadar menggegar tiang gol sebelah kiri disaat Mohammad Fikri sudah pun tertewas ketika itu.

Beraksi dalam hujan lebat tidak menyekat nafsu Red Giants dalam menggandakan jaringan apabila penyerang import kelahiran Brazil sekali lagi membuktikan sentuhannya untuk gol kedua pelawat pada minit ke-63.

Jaringan kedua Caion nyata menaikkan lagi semangat kem Selangor FC untuk melebarkan jaringan dan peluang keemasan itu hadir pada minit ke-82, namun sepakan penalti Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi mudah dibaca Mohammad Fikri.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus bawa pulang bekalan selesa buat Selangor FC menjelang aksi kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 1 November ini.