WALAUPUN hari penamaan calon masih belum tiba, namun bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah semakin terasa.
Kawan-kawan Merak Jalanan pun sudah ramai teruja dan merancang untuk pulang ke kampung membuang undi. Ada juga yang sudah mengisi borang cuti, mahu tinggal di kampung beberapa hari ketika pengundian pada 19 November ini.
Iklan
Iklan
Berdasarkan tinjauan anak buah Merak Jalanan yang disiarkan dalam Sinar Harian semalam, tiket bas untuk perjalanan ke Pantai Timur pada 17 dan 18 November sudah habis, manakala di utara dan selatan, tinggal beberapa tiket sahaja yang tinggal pada tarikh 18 November dan dijangka habis dalam masa terdekat.
Pilihan raya juga ibarat lubuk rezeki kepada peniaga. Masa inilah mereka boleh peroleh pendapatan berlipat ganda. Restoran-restoran dijangka akan dipenuhi orang ramai sepanjang tempoh berkempen sehinggalah hari pengundian.Tidak terkecuali pengusaha hotel atau homestay. Ketika pilihan raya, biasanya permintaan tinggi, malah ada yang sudah habis ditempah. Memang rezeki untuk mereka terbuka luas.
Cuma Merak Jalanan nak nasihatkan pengusaha restoran, janganlah ambil kesempatan menaikkan harga dengan melampau. Kawan Merak Jalanan beritahu, ada sahaja restoran di sesetengah tempat yang akan menaikkan harga makanan semasa pilihan raya sebelum-sebelum ini.
Begitu juga ada pengusaha homestay menaikkan sewa sehingga berlipat kali ganda disebabkan permintaan yang tinggi. Apabila minta kurang harga, pengusaha homestay tidak mahu layan dan beri alasan ramai lagi yang menunggu untuk menyewa.
Tak pastilah sama ada dakwaan kawan Merak Jalanan itu betul atau tidak kerana biasanya sepanjang tempoh kempen pilihan raya, Merak Jalanan lebih suka habiskan masa makan dan tidur di rumah sahaja.