KUALA LUMPUR - Amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin terutamanya ahli politik merupakan satu perkara yang sangat memalukan dan menjijikkan.
Demikian tegas tokoh akademik dan cendekiawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang menyifatkan kumpulan tersebut sebagai panglima atau pemimpin tertinggi dalam membuat sesuatu dasar negara.
Anak kelahiran Pasir Mas itu berkata, ahli politik yang korup pastinya akan memusnahkan negara dan merosakkan masa hadapan generasi akan datang.
Sehubungan itu beliau berkata, antara jalan penyelesaian berhubung isu tersebut adalah melakukan perubahan di peringkat asas melibatkan perubahan struktur sistem politik dan perundangan negara.
"Etika dan moral barisan kepimpinan semakin longgar, malah mengamalkan politik sempit serta lebih mementingkan diri berbanding kepentingan parti.
"Maka menjadi kesalahan besar buat kita (pengundi) jika terus memilih mereka yang tidak beramanah dan korup pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
"Bukan semua ahli politik yang rakus. Tetapi mereka yang tidak bermaruah, mengkhianati parti dan tiada integriti adalah mereka yang tidak perlu disokong (diundi)," katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis syarahan ulung mengenai ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika'.
Majlis anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu diadakan di Menara Kuala Lumpur.
Hadir sama Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil; Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar dan bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.