PKR tonjol calon baharu, DAP ubah langkah

Iklan
Anwar (tengah) pada sidang akhbar di Petaling Jaya pada Sabtu ketika mengumumkan tiga negeri PH tidak membubarkan DUN masing-masing.

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah memulakan langkah dengan mengumumkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PKR dilihat menggunakan strategi dengan menampilkan tujuh calon baharu terdiri dalam kalangan tokoh profesional dan orang muda.

Iklan
Iklan

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Rabu.

Calon berkenaan adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman, yang akan bertanding di Perak, manakala bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan akan bertanding di Pahang.

Iklan

Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang juga tokoh profesional kelainan upaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz pula akan bertanding di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang juga anak bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Aziz akan bertanding di Perak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M Yusop (Selangor).

Iklan

Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha (Negeri Sembilan) dan calon muda berusia 28 tahun yang juga doktor falsafah di Universiti Malaya, Fathin Amelina Fazlie pula akan bertanding di Perlis.

Sementara itu, DAP turut mengumumkan empat calon bagi Parlimen Pahang dan Selangor.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari dari DAP, Young Syefura Othman menepati jangkaan apabila disahkan bertanding di kerusi Parlimen Bentong

Tiga lagi calon, bekas Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji akan bertanding di Parlimen Lipis; bekas ADUN Tras, Chow Yu Hui (Raub) dan bekas ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong (Cameron Highlands).

Pada masa sama, spekulasi nama Charles Santiago yang didakwa digugurkan dari kerusi Parlimen Klang akhirnya terjawab apabila Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan perkara itu pada makan malam pengumpulan dana Parlimen Damansara, malam tadi.

Kerusi itu akan digantikan oleh V Ganabatirau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning.

Penyandang kerusi Parlimen Damansara mewakili DAP, Tony Pua pula mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU15 ini, dan Gobind Singh Deo akan mengisi kekosongan kerusi itu.

Maka, kerusi Parlimen Puchong yang ditinggalkan Gobind akan diisi oleh Yeo Bee Yin.

Begitu juga, kerusi Parlimen Bangi, penyandangnya Ong Kian Ming membuat keputusan untuk berehat dan digantikan dengan Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadualkan turun ke Parlimen Bandar Tun Razak pada Khamis sekali gus menguatkan desas-desus beliau bakal menjadi calon di kerusi itu.

Teka-teki Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminuddin Shari bakal bertanding di Parlimen Gombak turut semakin jelas.

Beralih ke perkembangan lain, pada Rabu negara digemparkan dengan insiden helikopter terhempas di Cameron Highlands dan seramai 30 individu yang terperangkap di Gua Tempurung.

Bagaimanapun, enam mangsa kejadian helikopter terhempas di Brinchang selamat dikeluarkan dari kawasan nahas dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom bagi mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dalam kemas kini terbaru lewat malam tadi memaklumkan kesemua 30 mangsa yang dilapor terperangkap di Gua Tempurung telah berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Maklumat awal memaklumkan, kesemua mereka merupakan kru penggambaran filem yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan itu.