KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa supaya mengadakan segera taklimat khas untuk memberi penjelasan penjelasan berhubung lonjakan jumlah daftar undi di Sabah.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berkata, pertambahan pengundi Sabah yang luar biasa di negeri ini harus diperjelaskan oleh pihak SPR sendiri.
"SPR harus memberi penjelasan terperinci mengenai isu ini iaitu terdapat peningkatan sebanyak 53.9 peratus di mana pengundi di Sabah meningkat secara luar biasa kepada 1,638,806 ketika ini berbanding 1,064,686 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Rakyat tertanya-tanya dari mana datangnya seramai 574,120 pemilih baharu itu. Oleh itu, SPR harus mempunyai tanggungjawa sosial untuk memberi penjelasan memandangkan ramai yang mempersoalkan pertambahan jumlah pengundi yang amat luar biasa ini sekiranya ia hanya melibatkan undi 18 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau lagi, sekiranya pihak SPR gagal berbuat demikian ia akan menimbulkan banyak kegusaran dalam kalangan rakyat Sabah.
"Ini juga akan menghakis kepercayaan rakyat dan kewibawaan SPR dalam mengendalikan proses pendaftaran pemilih dan pengurusan perjalanan pilihan raya di negara ini.
"PBRS menyeru agar SPR segera mengadakan taklimat khas mengenai perkara ini kepada semua parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah," katanya.
"Sekiranya penjelasan pihak SPR tidak memuaskan, maka pihak kami akan merujuk perkara ini kepada peguam kami untuk diteliti agar tindakan undang-undang dapat diambil," katanya.