MACHANG - Kemeriahan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin dirasai dengan pemasangan bendera parti yang dipacak di sepanjang laluan utama beberapa buah kampung di daerah ini antaranya Labok, Tok Bok dan Pulai Chondong, di sini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, setiap parti yang bertanding telah menggerakkan jentera masing-masing untuk menaikkan bendera walaupun hari penamaan calon masih berbaki sembilan hari lagi iaitu pada 5 November depan.
Bendahari Pemuda Pas Dun Pulai Chondong, Muhd Sadiqi Zakaria berkata, pemasangan bendera telah bermula pada hari pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lepas.
"Kami memilih waktu malam untuk memasang bendera memandangkan aliran trafik yang lengang,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Menurutnya, pemasangan bendera juga dipantau setiap hari bagi memastikan ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan serta mengganggu keselamatan pengguna jalan raya khususnya bagi penunggang motosikal.
"Kami ada unit khas yang bertindak sebagai pemantau bagi memantau keadaan bendera parti yang dipasang.
"Selepas penamaan calon kelak, jentera parti akan digerakkan dengan lebih agresif dan ‘perang’ bendera parti akan dipergiatkan lagi dalam usaha berkempen dan menyokong calon bertanding,” katanya.