[VIDEO] 'Yang dulu palsu, yang ini palsu' - Ahmad Maslan

Iklan

PONTIAN - [DIKEMAS KINI]"Yang dulu palsu, yang ini (pun) palsu," demikian reaksi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung ketiadaan namanya dalam senarai calon BN Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang tular sejak malam Rabu.

Bekas Ahli Parlimen Pontian itu berkata, segalanya akan terjawab pada hari pengumuman calon BN Johor yang dijangka akan diadakan sebelum hari penamaan calon 5 November ini.

Iklan
Iklan

Jelasnya, perkara berhubung calon sudah diketahuinya, namun tidak boleh dikongsi atau diumumkan setakat ini

Sebelum ini, tular senarai calon BN Johor yang dikatakan bakal bertanding pada PRU15 di 26 Parlimen antaranya Pengerusi BN dan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad di Parlimen Simpang Renggam dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian di Parlimen Pontian.

Iklan

Kerusi Parlimen Pontian yang mempunyai dua DUN iaitu Benut dan Pulai sebelum ini hangat diperkatakan apabila Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian antara mengumumkan akan bertanding pada PRU15.

Bagaimanapun Hasni yang merupakan ADUN Benut masih berteka- teki berhubung kerusi bakal ditandingi namun timbul desas desus menyatakan dirinya bakal bertanding di Parlimen Pontian.

Iklan

Kerusi Parlimen Pontian sebelum ini dimenangi Ahmad selama tiga penggal dan beliau menang majoriti tipis 833 undi dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU14.


Tunggu BN Johor umum pada 3 November

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, semua pihak seharusnya menunggu pengumuman rasmi yang akan dibuat pucuk pimpinan tertinggi BN.

Katanya, pengundi termasuk ahli dan penyokong BN tidak sewajarnya terpengaruh dengan sebarang senarai nama calon yang tular.

"Saya dimaklumkan BN Johor akan mengumumkan senarai calon pada 3 November depan bertempat di Pejabat UMNO Johor.

"Tunggu sehingga pengumuman rasmi calon BN yang dipilih untuk bertanding di 26 kerusi Parlimen di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Adham yang juga penyandang kerusi Parlimen Tenggara berkata, BN Johor akan memastikan persiapan jentera PRU15 akan dibuat lebih teliti dan tersusun.

"Saya bersama Pengarah Operasi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, akan memastikan segala persiapan jentera sempurna sebelum penamaan calon 5 November depan.

"Malah menjadi amalan BN untuk menampilkan calon terbaik termasuk nama besar dan muka baharu yang mampu memberi kemenangan kepada parti.

"Ia sekali gus bagi memenuhi sasaran pucuk pimpinan yang mahu Johor menyumbang sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen," katanya.